[VIDEO] Hamidah umum tinggalkan Putra

Hamidah umum tinggalkan Putra dan lepaskan semua jawatan di dalam parti itu
Hamidah umum tinggalkan Putra dan lepaskan semua jawatan di dalam parti itu
A
A
A

IPOH - Naib Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar parti dan peletakan semua jawatannya di dalam organisasi parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut diumumkan sebentar tadi menerusi satu sidang media di sebuah hotel, di sini.

Menjelaskan mengenai keputusan tersebut, Hamidah berkata, ia dibuat selepas kecewa dengan keputusan Putra menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya berpendapat hubungan ini tidak akan kekal lama kerana ini bukan gabungan yang ikhlas dan ia hanya merupakan marriage of convenience dan saya tak tahu akhirnya nanti siapa yang guna siapa dan siapa yang kenakan siapa.

"Demi prinsip dan tanda saya hilang kepercayaan kepada Presiden dan kepimpinan parti Putra yang telah bertindak untuk bekerjasama dengan Tun M, maka saya ingin melepaskan semua jawatan saya di dalam Putra serta keluar dari parti Putra berkuat kuasa serta-merta," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hamidah berkata, slogan GTA untuk bersatu demi Melayu dan Islam hanyalah retorik politik yang merupakan satu usaha untuk menipu rakyat.

Menurutnya, rakyat seluruh negara sudah mula perasan bahawa Dr Mahathir adalah seorang yang oportunis dan mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, beliau setakat ini tidak berhasrat menyertai mana-mana parti politik namun akan meneruskan perjuangan menerusi platform yang lain.

Artikel Berkaitan:

Hamidah mengumumkan penyertaannya ke dalam Putra pada 20 Ogos 2018 selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada September 2017.

Selain menjadi Naib Presiden, Hamidah memegang jawatan sebagai Pengerusi Putra Perak dan Penyelaras Putra Bahagian Kampar.

Pada November 2015, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemecatan Hamidah daripada UMNO selepas mendapat keputusan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan.