JPJ kesan laman Instagram tawar 'lesen terbang'

Tawaran iklan palsu di laman Instagram yang dikesan JPJ.
Tawaran iklan palsu di laman Instagram yang dikesan JPJ.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan iklan kegiatan sindiket yang menawarkan lesen memandu tanpa ujian komputer serta lulus dalam tiga hari.

JPJ dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan iklan lesen terbang yang menggunakan platform aplikasi Instagram.

"JPJ ingin memaklumkan bahawa iklan tersebut adalah palsu.

"Menerusi iklan di pautan https://instagram.com/mydrivingschoolofficial?igshid=YmMyMTA2M2Y= tersebut, sindiket berkenaan menawarkan khidmat lesen memandu tanpa ujian komputer dan JPJ yang mampu diperoleh hanya dalam tempoh tiga hari," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi JPJ, jabatan memandang serius terhadap sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam hal ini JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih.