Faizal Saari sertai kelab Belanda

Najmi (tiga dari kanan) bersama Faizal (tiga dari kiri) pada sidang media pada Selasa. - Foto MHC
Najmi (tiga dari kanan) bersama Faizal (tiga dari kiri) pada sidang media pada Selasa. - Foto MHC
A
A
A

PENYERANG sensasi pasukan hoki negara Faizal Saari mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain skuad kebangsaan pertama terpilih menyertai Liga Premier Belanda, Hoofdklasse dengan bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu bakal berentap di liga utama Belanda tersebut selama 10 bulan mengikut kontrak yang ditetapkan kelab berkenaan.

Beliau berkata, pasukan Schaerweijde di bawah kendalian jurulatih kecerdasan Tom Drowly telah memilih Faizal untuk menyertai skuad berkenaan berdasarkan prestasi cemerlang pemain berusia 31 tahun itu.

"Pasukan Schaerweijde baru sahaja naik dari divisyen dua ke liga utama Belanda.

"Liga ini akan berhenti pada 10 November, jadi Faizal akan pulang ke Malaysia pada 11 November untuk menyambung latihan bersama pasukan kebangsaan di bawah jurulatih A Arul Selvaraj dan akan bermain untuk Malaysia di Nations Cup,” katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Ahmad Najmi berkata, Faizal bakal dibekalkan sistem kedudukan sejagat (GPS) oleh Arul Selvaraj sebagai inisiatif untuk memantau prestasi pemain berkenaan ketika berentap di liga terbabit.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj berkata, langkah menghantar Faizal ke liga berkenaan sebagai memberi pendedahan kepada skuad kebangsaan peluang bermain di liga yang berkualiti tinggi.

Menurut Arul Selvaraj, beliau turut mengambil inspirasi daripada skuad Argentina yang memenangi Piala Dunia Remaja Hoki 2021 dan Olimpik Rio, Brazil 2016 iaitu 19 daripada 20 pemain skuad berkenaan berentap di Liga Belanda dan Belgium.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ini adalah permulaan pertama untuk menghantar pemain negara ke liga berkualiti seperti di Belanda. Kita akan fokus semula tahun depan untuk menghantar lebih ramai pemain sebab sekarang semua kelab dah daftar pasukan mereka.

"Sekarang pun sudah ada kelab yang dah bersedia untuk menampung pemain kita di sana seperti dari segi peralatan dan persiapan,” katanya.

Sementara itu, Faizal berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk membuktikan prestasi terbaik.

"Di sana saya akan bermain dengan tempo yang sangat tinggi tetapi ia bagus untuk saya dan pasukan Malaysia. Saya bersyukur dan sangat teruja untuk ke sana,” katanya. - Bernama