Pahang Barat Plus antara tumpuan JBI

Mohamed Azmin dan Wan Rosdy mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di sini pada Selasa.
Mohamed Azmin dan Wan Rosdy mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus antara lapan kertas cadangan yang dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan Pahang, di sini pada Selasa.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, secara dasarnya, cadangan pembangunan kluster wilayah ekonomi baharu di Pahang Barat itu telah dipersetujui kerana selari dengan Dasar Pelaburan Negara.

Menurutnya, langkah itu dilihat dapat membantu dalam mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh Pahang.

"Melalui mesyuarat ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memberi jaminan akan mengenal pasti projek-projek yang akan di bawa masuk ke Pahang Barat bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan segera.

"Perkara ini juga akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat insentif dalam menarik pelaburan berkualiti ke Pahang Barat selain peruntukan pembangunan yang lebih saksama supaya infrstruktur di kawasan itu dapat dinaik taraf dan meyakinkan pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat JBI Pahang 2022 di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohamed Azmin berkata, antara sektor dikenal pasti termasuk pelancongan, pertanian berteknologi tinggi dan sektor ekonomi baharu.

"Dengan adanya Wilayah Pembangunan Pahang Barat Plus ini, ia akan mewujudkan sinergi pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan itu," katanya.

Sementara itu katanya, selain Pahang Barat Plus, tujuh lagi kertas cadangan telah dibincangkan pada mesyuarat itu termasuk tiga daripada kerajaan negeri dan lima daripada MITI dan agensi berkaitan.

"Antara yang dibincangkan pembangunan pusat pentadbiran di Gebeng, pembangunan Kuantan Aerospace City dan kelonggaran kepada pelabur industri kertas.

"Kertas cadangan ini telah dibincang dan dipersetujui oleh MITI kerana ia selari dengan Dasar Pelaburan Negara dan satu peluang terbaik untuk Pahang meningkatkan prestasi pelaburan.

"Cadangan daripada MITI yang dibincangkan termasuk berhubung Dasar Pelaburan Baharu, peranan Pahang dalam membangunkan teknologi dan ekosistem kenderaan elektrik (EV), meningkatkan aktiviti eksport dengan membuka pejabat Matrade khusus di Pahang, merancak pembangunan industri halal dan kerjasama fasilitasi projek pelaburan yang diluluskan," katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan itu telah menghasilkan kejayaan dalam memperkukuhkan kerjasama kedua-dua pihak.

"MITI memberi komitmen untuk terus jalinkan kerjasama erat dengan Pahang kerana negeri ini antara yang membantu mencerdaskan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, JBI merupakan platform antara MITI dan kerajaan negeri dalam membincang, menyelaras dasar dan hala tuju pelaburan, perdagangan antarabangsa serta pembangunan industri.