Dera budak autisme: Kertas siasatan diserah kepada DPP

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Johor sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai, Johor Bahru kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan pejabat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, siasatan kes itu selesai selepas pihak polis menerima laporan daripada pakar perubatan awam berhubung kecederaan kanak-kanak itu yang dilihat penting bagi mengesahkan sama ada kecederaan kanak-kanak berusia enam tahun itu akibat didera atau faktor lain.

"Kita sudah merujuk kertas siasatan kes itu untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika mengulas perkembangan terkini kes tersebut yang sebelum ini masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Peringatan Hari Polis di Ladang REM di sini pada Selasa.

Pada 30 Julai lalu, seorang ibu melaporkan kekesalan apabila anak istimewanya yang dihantar untuk menjalani terapi disyaki didera ahli terapi di sebuah pusat terapi sejak awal tahun ini.

Nik Huzaiwati Husin, 33, dilaporkan berkata, beliau menghantar anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, yang didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

Beliau mendakwa anaknya yang mesra dipanggil Abrisam sudah beberapa kali cedera tetapi setiap kali meminta penjelasan daripada pihak terapi, memaklumkan kecederaan disebabkan aktiviti terapi.

Suri rumah itu turut membuat perkongsian di laman sosial Facebooknya menggunakan akaun Cik Puan Zetty.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.