JBPM sedia wujud MoU perkasa kerjasama sempadan

Mohammad Hamdan (dua dari kiri) menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada pegawai JBPM Kelantan di Kota Bharu, pada Selasa.
Mohammad Hamdan (dua dari kiri) menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada pegawai JBPM Kelantan di Kota Bharu, pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasakan lagi kerjasama dengan negara sempadan menerusi tugas-tugas menyelamat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, MoU itu sudah dirangka supaya kerjasama antara negara sempadan berjalan secara formal.

"Saya jangka awal tahun hadapan sudah ada satu kerjasama strategik secara berdokumentasi," katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini, pada Selasa.

Hadir sama Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Bagaimanpun, menurut beliau, kerjasama itu telah lama wujud namun tidak secara bertulis menerusi bantuan menyelamat terutama melibatkan insiden lemas di Sungai Golok sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

"Setiap kali berlaku insiden lemas melibatkan negara jiran JBPM akan memberi bantuan begitulah sebaliknya," katanya.

Mohammad Hamdan berkata, selain Thailand kerjasama ini turut melibatkan negara sempadan seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.