Polis buru suspek cuba ragut rantai emas

Rakaman suspek cuba meragut rantai emas milik mangsa tular di media sosial
Rakaman suspek cuba meragut rantai emas milik mangsa tular di media sosial
A
A
A

KAJANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes cubaan ragut rantai seorang wanita di Taming Jaya Balakong di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pada jam 3.30 petang, mangsa sedang berjalan kaki menuju kereta miliknya jenis Perodua Alza yang diparkir di bahu jalan.

"Suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba meragut rantai emas mangsa, tetapi tidak berjaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, kejadian itu telah dirakam oleh kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Hasil penelitian rakaman video itu mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis tidak pasti berwarna biru cuba menarik rantai mangsa," katanya.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini disarankan tampil untuk memberikan keterangan atau boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 019-2299906," ujarnya.