Projek LCS: Heret individu terlibat ke muka pengadilan

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa agar individu yang terbukti melakukan kesalahan dalam isu penyelewengan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) perlu dibawa ke muka pengadilan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi tersebut bukan sahaja memalukan negara, malah memperlihatkan kesukaran untuk mempertahankan negara ekoran ahli-ahli politik yang menyeleweng wang rakyat.

“Saya ingin membuat kesimpulan buat masa ini dengan mengatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya menyalahkan rakyat. Sebaliknya, mereka harus bertanggungjawab atas kegagalan yang telah didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Mereka yang terbukti melakukan kesalahan mesti dibawa ke muka pengadilan. Situasi ini bukan sahaja memalukan negara, ia juga memperlihatkan kita akan menghadapi kesukaran untuk mempertahan negara akibat ahli-ahli politik menyeleweng wang rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan penerbitan laporan PAC Dewan Rakyat mengenai polemik LCS bernilai RM9 bilion, yang merupakan salah satu perolehan pertahanan terbesar untuk peralatan baharu dalam sejarah Malaysia.

Menurutnya, laporan PAC tersebut mencerminkan dan membuktikan isu berkaitan projek LCS yang sebelum ini dibangkitkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Dewan Rakyat yang telah pengerusikan beliau dari Disember 2019 hingga Disember 2020 mempunyai asas yang kukuh.

“Saya telah memulakan siasatan mengenai projek tersebut memandangkan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk disempurnakan.

“Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) telah menekankan kepada kami pelbagai masalah dan penyelewengan yang melanda projek itu, yang kini telah disahkan PAC,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Setiawangsa itu, laporan PAC juga mendapati usaha yang tidak mencukupi telah dilakukan oleh kerajaan pada masa itu terhadap keadaan kewangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan terdapat kelemahan kritikal dalam pengurusan dalamannya.

“Apa yang mengecewakan ialah kerajaan sekarang nampaknya menganggap skandal ini seolah-olah sesuatu yang tidak berkaitan langsung dengan mereka, sedangkan hakikatnya beberapa pemimpinnya berada dalam kabinet semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika penyelewengan berlaku.

“Sekurang-kurangnya, mereka harus berterus terang tentang apa yang berlaku dalam isu ini. Memang benar beberapa individu telah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan selepas ini sudah akan lebih ramai.

“Malangnya, belum ada pihak yang didakwa atas skandal tersebut,” katanya.