Pasir Puteh dilanda ribut

Gerai jualan yang rosak selepas diterbangkan angin kuat dalam kejadian ribut pada Isnin. - Foto pembaca
Gerai jualan yang rosak selepas diterbangkan angin kuat dalam kejadian ribut pada Isnin. - Foto pembaca
A
A
A

PASIR PUTEH - Bandar Pasir Puteh, Tok Bali, Gong Kubur dan kawasan sekitar di sini dilanda ribut pada petang Isnin

Kejadian tersebut yang berlaku sekitar jam 6 petang itu menyebabkan beberapa batang pokok besar tumbang dan menghalang laluan selain merosakkan gerai jualan dan rumah penduduk.

Anggota bomba sedang memotong pokok yang tumbang menimpa sebuah lori dalam kejadian ribut pada Isnin. - Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba sedang memotong pokok yang tumbang menimpa sebuah lori dalam kejadian ribut pada Isnin. - Foto Ihsan JBPM

Hasil perkongsian warganet menerusi laman sosial Facebook mendapati gerai jualan di Pasir Puteh Sentral dan kawasan sekitar mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pokok tumbang di Kampung Gong Kubur pada jam 6.08 petang.

"Seramai lapan anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja memotong pokok tersebut dan membersihkan lokasi kejadian.

"Setelah selesai operasi tersebut, anggota bomba bergegas ke lokasi kedua pokok tumbang yang menghempap sebuah lori berhampiran kilang padi di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, kedua-dua operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 7.38 malam.