Suspek samun pengurus barangan dalam talian diburu

Rakaman CCTV memaparkan mangsa bergelut dengan suspek di hadapan sebuah kedai di Jalan Sungai Jati di sini pada Isnin.
Rakaman CCTV memaparkan mangsa bergelut dengan suspek di hadapan sebuah kedai di Jalan Sungai Jati di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Polis giat mengesan suspek kes samun seorang pengurus barangan dalam talian di hadapan kedai di Jalan Sungai Jati di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita yang memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 11.26 pagi.

"Kejadian berlaku ketika mangsa berada di hadapan kedai pada jam 8.30 pagi.

"Suspek yang bersenjatakan pisau dan menaiki kereta jenis Perodua Myvi warna biru menuju ke arah mangsa serta menarik beg sandang miliknya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hoong Fong berkata, mangsa cuba mempertahankan beg sandangnya sehingga berlaku sedikit pergelutan.

"Namun, suspek dapat menarik beg sandang mangsa dan terus melarikan diri menggunakan kenderaan tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai lebih daripada seorang.

"Wanita itu tidak mengalami kecederaan serius namun kerugian sebanyak RM3,000 kerana kehilangan wang tunai, rantai emas, telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri di dalam beg sandang yang disamun suspek," katanya.

Hoong Fong berkata, kenderaan digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun itu dilaporkan terbakar di Taman Sentosa di sini pada jam 10.55 pagi.

"Semakan nombor casis dan enjin kereta mendapati ia dilaporkan hilang pada 14 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata, kenderaan tersebut telah ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk pemeriksaan lanjut.

"Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menjalankan pemeriksaan dalam kereta dan telah menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan," katanya.

Hoong Fong berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.