KDA FC waspada serangan balas PSM Makassar

Aidil Sharin (kiri) dan Loqman ketika sidang media di Bali, Indonesia pada Isnin. - Foto KDA FC
Aidil Sharin (kiri) dan Loqman ketika sidang media di Bali, Indonesia pada Isnin. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC perlu berwaspada dengan taktikal serangan balas pantas dan 'set piece' PSM Makassar pada aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 di Stadium Captain I Wayan Dipta, Bali malam Selasa.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukan kejurulatihan Sang Kenari telah membuat analisis kekuatan dan kelemahan lawannya itu termasuk aksi PSM Makassar menentang Persija Jakarta bagi saingan Liga I Indonesia pada Jumaat yang berkesudahan seri 1-1.

Menurutnya, satu aksi sengit dijangka akan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan kerana mahu merebut slot akhir untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC musim ini.

"Kami tahu kekuatan PSM Makassar yang dibarisi pemain berpengalaman antaranya ketua pasukan mereka, malah mereka juga bagus beraksi dalam serangan balas dan bergerak dalam satu unit baik semasa bertahan mahupun menyerang

"Kami juga perlu waspada dengan serangan balas pantas dan 'set piece' mereka termasuk sepakan percuma yang menghantar terus ke dalam kotak penalti. Jadi kami perlu membuat persiapan pada perlawanan yang cukup sukar ini pada malam esok," katanya pada sidang media di Bali pada Isnin.

Jelas Aidil lagi, pengalaman beraksi di gelanggang yang sama di peringkat kumpulan memberi sedikit kelebihan kepada Sang Kenari dan beliau mengharapkan tuah beraksi dalam perlawanan kalah mati kali ini.

Sementara itu, pemain pertahanan KDA FC, Mohd Loqman Marzuki berkata, tiada tekanan yang dirasainya kerana persiapan rapi telah dilakukan sejak beberapa hari lalu.