Media alam nyata perlu terus bersaing hasil karya bermutu

Penaja dan penyumbang dirai pada Majlis Meraikan Penyumbang MWM 2019 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur, semalam.
Penaja dan penyumbang dirai pada Majlis Meraikan Penyumbang MWM 2019 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2019, Datuk Dr Chamil Wariya, berharap, institusi media alam nyata iaitu surat khabar, radio dan majalah terus bersaing bagi menghasilkan karya lebih bermutu daripada yang disiarkan dalam portal berita.

Chamil
Chamil

Menurutnya, walaupun berlaku perubahan landskap dalam dunia media ketika ini dengan adanya media alam maya dan portal berita atas talian (online), namun media alam nyata kekal relevan.

“Kita jangan sebut mengenai laporan di media sosial, kerana kebanyakannya adalah ‘wartawan warga’ yang tidak terikat dengan etika kewartawanan. Sedangkan setiap artikel perlu dipastikan kesahihan maklumat serta faktanya.

“Kita sebagai wartawan profesional yang terikat untuk melaporkan kebenaran, secara objektif, seimbang dan semak fakta semua itu. Inilah waktunya menampilkan kewibawaan dalam penulisan kita kerana jika ada kewibawaan, maka khalayak akan datang menatap karya kita,” katanya kepada media selepas Majlis Meraikan Penyumbang MWM 2019 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini, semalam.

Dalam pada itu, Chamil berkata, tahun ini, MWM yang akan diadakan pada 26 April hadapan, berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM411,000 daripada 31 entiti penaja terdiri daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan Kementerian Persekutuan.

Sebanyak RM411,000 dikutip pada Majlis Meraikan Penyumbang MWM 2019 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur, semalam.
Sebanyak RM411,000 dikutip pada Majlis Meraikan Penyumbang MWM 2019 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Kuala Lumpur, semalam.

“Jumlah tersebut mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tahun lepas sebanyak RM398,000.

Artikel Berkaitan:

“Jadi mungkin selepas majlis ini (meraikan penaja) akan ada pihak lain yang akan menyampaikan sumbangan dan tentulah kita alu-alukannya kerana MWM 2019 akan diadakan tiga minggu lagi,” katanya.

Dari segi penyertaan pula, Chamil berkata, jumlahnya sedikit menurun iaitu sebanyak 267 penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2018 (HKM 2018) berbanding 349 penyertaan tahun lalu.

“Penyertaan turun sedikit kerana mulai tahun lepas kami mengenakan sedikit bayaran untuk penyertaan iaitu RM100 untuk institusi yang sertai MPI, dan RM150 bagi yang bukan menyertai MPI.

“Kita mengenakan yuran itu bukan untuk menyekat penyertaan tetapi ingin memastikan karya-karya yang dihantar untuk HKM 2018 ini betul-betul berkualiti.

“Dan saya dapati daripada laporan awal dari para hakim mereka mendapati, dari segi kualiti artikel memang ada peningkatan. Itu tujuan kami, kerana untuk mengiktiraf kecemerlangan, jadi karya-karya yang berkualiti yang patut masuk,” katanya.

Hadiah Kajai merupakan anugerah tertinggi yang dipertandingkan dan karya yang dinobatkan sebagai pemenang bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sinar Harian turut menjadi antara penaja organisasi Media bagi MWM 2019 tersebut.