Polis bongkar taktik sindiket pos dadah dalam acuan simen

Acuan simen yang digunakan sindiket untuk menyorokkan dadah sebelum dihantar ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.
Acuan simen yang digunakan sindiket untuk menyorokkan dadah sebelum dihantar ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sorok dadah dalam acuan simen sebelum dihantar ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier.

Itu modus operandi sindiket pengedaran dadah yang berjaya dibongkar oleh polis selepas menangkap sepasang kekasih berusia 32 dan 36 tahun di hadapan sebuah premis di Bayan Lepas pada Khamis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, tangkapan dibuat hasil risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang sebelum berjaya merampas dadah jenis syabu dan MDMA bernilai RM694,412.

Menurutnya, susulan tangkapan itu polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth dan menangkap empat individu iaitu ibu, bapa, adik dan adik ipar kepada suspek lelaki yang ditangkap di Bayan Lepas.

"Serbuan juga dibuat di sebuah premis syarikat penghantaran barangan di Bayan Lepas dan menemukan 247 gram syabu yang disembunyikan di dalam acuan simen untuk dihantar ke luar negara.

"Polis kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Bagan sebelum menemukan 427 peket serbuk dadah jenis MDMA seberat 13,426 gram dan syabu seberat 86 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini pada Isnin.

Mohd Radzi menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket.
Mohd Radzi menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket.

Mohd Radzi berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal Jun lalu dengan mengedar dadah jenis syabu untuk pasaran luar negara manakala dadah jenis MDMA dijual untuk pasaran tempatan.

Jelasnya, serbuk dadah jenis MDMA itu dibungkus dalam peket minuman jus tiga dalam satu dan dijual dengan harga RM150 hingga RM200 setiap satu.

Beliau berkata, selain dadah pihaknya juga merampas sebuah kenderaan bernilai RM23,000 dan wang tunai berjumlah RM1,500.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap semua suspek mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah dan semakan dibuat mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek yang ditangkap berusia 32 hingga 66 tahun kini direman selama lima hari sehingga 9 Ogos depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Radzi berkata, pihaknya menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM70,080 di sebuah rumah di Mak Mandin pada 4 Ogos lalu.

Dadah jenis MDMA yang dibungkus dalam peket minuman jus tiga dalam satu.
Dadah jenis MDMA yang dibungkus dalam peket minuman jus tiga dalam satu.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat polis merampas 142 peket serbuk dadah jenis MDMA, tiga gram dadah ketamin, lima biji pil ekstasi dan 17 biji pil eramin 5.

"Kita masih menyiasat sama ada suspek menjalankan aktiviti pengedaran dadah ini secara bersendirian ataupun berkumpulan.

"Selain dadah kita turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek bernilai RM20,000," katanya.

Tambah beliau, suspek yang positif dadah jenis methamphitamine dan ketamin direman selama lima hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman mati sekiranya didapati bersalah.