MAFI arah henti operasi tunda kereta di MAEPS

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta didakwa disaman tanpa notis di MAEPS.
Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta didakwa disaman tanpa notis di MAEPS.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pengurusan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) diarah untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sepanjang pameran itu berlangsung.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, arahan tersebut berkuat kuasa serta merta selepas laporan media berkenaan kereta pengunjung ditunda dan disaman RM100 tanpa notis di pameran itu pada Ahad.

"Operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar dan efisien. Ia juga untuk membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam MAEPS bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak apabila terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.

"Bagaimanapun, MAFI telah mengarahkan pihak pengurusan acara MAHA 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di MAEPS, Serdang sepanjang penganjuran MAHA 2022 berkuat kuasa serta merta," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, petugas media juga hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk MAEPS untuk ke parkir yang dikhaskan di belakang Dewan A, MAEPS.

"Kenderaan awam pula perlu diletakkan di tempat yang disediakan.

"Sebanyak 5,000 lot parkir kereta disediakan di Laman Tiba 1 dan 3,500 lot parkir di Laman Tiba 2 telah disediakan bagi kemudahan pengunjung. Pengunjung turut dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan.

"Pihak MAFI akan sentiasa memastikan kemudahan, keselesaan dan keselamatan para pengunjung dan petugas media diberi perhatian sepanjang penganjuran MAHA 2022," kata kenyataan itu.

MAFI juga memaklumkan sehingga Ahad, jumlah pengunjung MAHA 2022 yang direkodkan adalah seramai 404,000 orang pengunjung.