Pembinaan jalan raya di Lintas selamat: Bung Moktar

Bung Moktar ketika meninjau tapak kemalangan di jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas, Luyang, Kota Kinabalu.
Bung Moktar ketika meninjau tapak kemalangan di jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas, Luyang, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah mengesahkan jalan raya yang siap dibina di Jalan Lintas di sini adalah selamat kepada pengguna dan dibina mengikut prosedur serta kriteria yang ditetapkan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, laluan itu yang siap awal tahun ini juga telah memenuhi audit keselamatan jalan raya peringkat keempat dan kini sedang dalam proses audit peringkat kelima.

"Saya berpuas hati dengan penjelasan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan setiausaha kementerian bahawa jalan raya ini dibina berdasarkan prosedur dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh JKR dan audit keselamatan jalan raya.

"JKR disyorkan supaya meletakkan papan tanda peringatan had laju tidak melebihi 70 kilometer sejam di setiap tiang jejambat di kawasan itu supaya pengguna berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan terutamanya pada waktu hujan,” katanya kepada pemberita selepas melawat jalan itu hari ini.

Pada Sabtu lepas, kira-kira pukul 11.40 malam, tiga beranak maut manakala seorang kanak-kanak parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas.

Bung Moktar berkata, hasil siasatan berhubung punca kejadian kemalangan itu akan diperoleh dalam tempoh terdekat sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar menyarankan kepada semua pegawai daerah supaya memerhati kawasan pentadbiran masing-masing dan membuat laporan kepada Kementerian Luar Bandar dan KKR Sabah untuk bersama-sama berbincang bagi mengatasi masalah penduduk kampung terutamanya pelajar sekolah yang terpaksa menaiki perahu mahupun melintasi batang paip untuk ke sekolah. - Bernama

Artikel Berkaitan: