Anwar lantik MPN Pahang, Terengganu dan Kelantan

Anwar. - Foto Bernama
Anwar. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi penggal 2022 hingga 2025.

Ujar beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan perbincangan mesyuarat bersama ketua cabang bahagian negeri masing-masing.

“Saya telah mengemukakan nama saudara Amirudin Shari sebagai Pengerusi MPN Pahang dan setelah mendengar pandangan, semua ketua cabang sebulat suara bersetuju dengan pelantikan tersebut.

“Semoga lantikan ini akan memantapkan lagi gerak kerja PKR di Pahang serta mampu menarik sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katannya dalam siaran di Facebook rasminya pada Ahad.

Dalam pada itu, melalui perkongsian yang lain, Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu turut memaklumkan bahawa Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai Pengerusi bagi MPN Terengganu dan Kelantan pada penggal tersebut.

“Saya telah mengemukakan nama saudara Nik Nazmi Nik Ahmad dan setelah mendengar pandangan, semua ketua cabang sebulat suara bersetuju melantik beliau sebagai Pengerusi MPN bagi penggal 2022-2025,” ujarnya.