Masih banyak perlu dilakukan bantu Keluarga Malaysia: Annuar

Annuar
Annuar
A
A
A
SERDANG - Masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan setiap individu dalam kerajaan menggalas tanggungjawab untuk bekerja bersama pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, kerajaan hari ini komited dan fokus untuk bekerja keras menjayakan agenda membantu Keluarga Malaysia, terutamanya ketika berhadapan krisis kenaikan harga barang ketika ini.

"Fokus utama kami sekarang ialah meneruskan kerja dan berkhidmat untuk masyarakat. Saya rasa perkara ini ialah sesuatu yang setiap orang perlu ambil tanggungjawab untuk bekerja bersama-sama perdana menteri dan kerajaan, dan fokus kepada agenda bagaimana kita boleh bantu rakyat Malaysia secara amnya ketika waktu sukar ini.

"Apabila tiba masanya, dan masa yang tepat untuk perdana menteri membubarkan Parlimen...Tetapi buat masa ini, perdana menteri amat komited mengambil usaha membantu rakyat Malaysia untuk berhadapan masa sukar ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia pada Ahad.

Annuar yang juga Ketua UMNO Ketereh mengulas kenyataan Ismail Sabri pada Sabtu mengenai kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, sekiranya Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Parti Islam Malaysia (Pas), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Dalam pada itu, Annuar berkata, tidak timbul sebarang isu kononnya PN menarik sokongan terhadap kerajaan.

Katanya, PN masih merupakan sebahagian daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri, walaupun tular pelbagai berita dan mesej yang mendakwa PN berhasrat menarik balik sokongan.

"Selepas macam-macam berita keluar, kita telah dapat kepastian bahawasanya PN masih lagi sebahagian daripada kerajaan. Isu PN menarik sokongan bukan lah satu isu lagi,” katanya.



Pada Jumaat (5 Ogos), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman dilaporkan menafikan laporan, yang mendakwa PN akan menarik sokongan terhadap perdana menteri kerana isu tuntutan jawatan timbalan perdana menteri, serta menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri. - Bernama
Artikel Berkaitan: