Selangor cadang agih vaksin influenza A percuma

Siti Mariah ketika ditemui pada Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama pada Ahad.
Siti Mariah ketika ditemui pada Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bercadang untuk mengagihkan vaksin influenza A secara percuma kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun jika kes penyakit itu tidak menunjukkan trend penurunan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, vaksin tersebut akan diagihkan kepada ibu bapa yang mendaftar menerusi program Iltizam Selangor Sihat (ISS).

Menurutnya, mereka yang mendaftarkan diri di bawah program tersebut boleh mendapatkan suntikan vaksin berkenaan di klinik-klinik panel yang menyertai inisiatif itu.

"Kalau (kes influenza A) belum menurun, saya memikirkan untuk memberikan vaksin percuma kepada rakyat.

"Mereka yang mendaftar di bawah Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Peduli Sihat boleh ambil di klinik-klinik panel yang memiliki vaksin tersebut terutamanya untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Siti Mariah turut mencadangkan supaya suntikan vaksin tersebut dibuat setiap tahun bagi mengekang penularan penyakit berkenaan.

Ujarnya, vaksin influenza A tidak diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak seperti vaksin merawat polio, cacar dan lain-lain.

"Maknanya kalau mereka nak (suntikan vaksin influenza A), mereka perlu bayar (kos vaksin).

"Saya nak bincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) tentang keperluan menawarkan vaksin itu kerana sepatutnya ia dibuat secara tahunan," katanya.