KDA FC tekad ubati kekecewaan

Pemain KDA FC ketika menjalani sesi latihan di Stadium Gelora Samudra, Bali, Indonesia. Foto KDA FC
Pemain KDA FC ketika menjalani sesi latihan di Stadium Gelora Samudra, Bali, Indonesia. Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berharap dapat mengubati kekecewaan aksi di Liga Malaysia 2022 dengan meraih kemenangan pada aksi separuh akhir Piala AFC Zon ASEAN 2022 menentang PSM Makassar di Bali, Indonesia Selasa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, pengurusan kelab cakna terhadap prestasi semasa pasukan Sang Kenari dalam Liga Malaysia dan beberapa tindakan telah diambil bagi meniup semangat pasukan untuk kembali di landasan kemenangan.

"Doakan Sang Kenari dapat mengubati kekecewaan aksi liga dengan menghadiahkan pentas akhir Zon ASEAN Piala AFC 9 Ogos ini.

"Teruskan sokongan anda dengan kata-kata semangat bagi meniup aura juang sejiwa murni," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, KDA FC memahami kehendak semua pihak yang mahukan Sang Kenari sentiasa beraksi cemerlang di setiap perlawanan berikutan status pasukan ini antara yang terbesar di Malaysia melalui tradisi sejarah bola sepak dan kejayaan yang telah dicipta.

Beliau berkata, pengurusan kelab turut berterima kasih terhadap pelbagai maklum balas, keluhan dan rintihan kekecewaan semua pihak berhubung prestasi Sang Kenari yang tidak konsisten sejak kebelakangan ini.

"KDA FC secara dekat akan memantau setiap perlawanan dan titik tolak tindakan seterusnya adalah melalui penilaian prestasi perlawanan Separuh Akhir Zon ASEAN Piala AFC menentang PSM Makassar.

"Mengenai isu kebajikan pemain, KDA FC sentiasa meletakkan keutamaan terhadap isu gaji dan tiada isu gaji tertunggak seperti persepsi negatif di lontarkan di media sosial," ujarnya.

Tambahnya, walaupun kelab berada dalam transisi pengurusan kewangan tanpa kebergantungan penuh kepada kerajaan negeri, pendanaan yang diterajui oleh Patron KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mampu menampung tanggungjawab dan kebajikan pasukan Sang Kenari setakat ini.

Pada 3 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan Pengurusan KDA FC perlu turun padang bertemu wakil penyokong Sang Kenari untuk berkongsi keadaan sebenar kelab tersebut selepas mereka menampilkan aksi longlai di peringkat Liga Malaysia 2022.

Bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, CEO KDA FC, Khamal Idris Ali telah menghubunginya pada petang Rabu berhubung kenyataannya di media sosial yang melihat kelab itu seolah-olah merahsiakan sesuatu berdasarkan prestasi pasukan yang tidak konsisten.

Menurutnya, penyokong berhak untuk mengetahui apa yang berlaku kerana pasukan tidak akan wujud tanpa sokongan tidak berbelah bahagi seperti yang diberikan oleh penyokong selama ini.