KPLB cari kampung untuk disenarai sebagai Kampung Sejahtera

Mahdzir (tiga, kanan) beramah mesra bersama penduduk yang hadir pada program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga pada Ahad.
Mahdzir (tiga, kanan) beramah mesra bersama penduduk yang hadir pada program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengenal pasti kampung-kampung di seluruh negara yang memenuhi kriteria untuk disenaraikan bawah kategori Kampung Sejahtera.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penilaian akan dilakukan dengan kerjasama pejabat daerah dan ketua kampung bagi menilai potensi kampung berkenaan sama ada layak disenaraikan sebagai Kampung Sejahtera.

Menurutnya, antara kriteria penilaian termasuk memiliki infrastruktur yang lengkap, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju dan tahap kesihatan komuniti yang baik.

"Memang kita sedang laksana, kita nak tengok berapa banyak kampung, jadi kita buat juga pertandingan antara kampung, iaitu Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera.

“Pada masa sama kita minta data daripada pejabat-pejabat daerah di seluruh negara untuk kita ketahui berapa banyak sebenarnya kampung yang boleh dianggap sebagai Kampung Sejahtera," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga di sini pada Ahad.

Mahdzir memberitahu, KPLB bagaimanapun tidak menetapkan sasaran jumlah kampung yang akan diangkat sebagai Kampung Sejahtera pada tahun ini.

“Semua jawatankuasa kampung disaran ambillah peluang ini untuk menyertai pertandingan. Ini kerana kampung yang berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera, KPLB akan salurkan peruntukan pembangunan kepada kampung tersebut berdasarkan keperluan di kawasan terbabit,” katanya lagi.

Sehubungan itu, tegasnya, ketua-ketua kampung diminta memainkan peranan lebih kreatif dan inovatif bagi menggerakkan komuniti kampung agar memenuhi kriteria Kampung Sejahtera KPLB.

"Paling tinggi kita boleh berikan sehingga RM1 juta peruntukan merangkumi pembangunan dalam kampung, ada yang RM100,000 atau RM200,000 bergantung kepada keperluan.

“Contohnya, kalau kampung itu sudah ada jalan yang baik, elektrik ada, paip air ada, mungkin surau tidak begitu cantik, kita mungkin dapat bagi peruntukan untuk naik taraf surau," ujarnya.

Mahdzir berkata, untuk mencapai sasaran itu, semua penduduk kampung harus memiliki semangat tolong-menolong selain mahu memperindahkan persekitaran kampung.

"Ketua Kampung kenalah ada inovasi, kreatif dan kita akan tolonglah, tetapi kalau empat tahun pun tidak pernah buat gotong-royong, macam mana nak bagi peruntukan," katanya lagi.

Menurutnya, KPLB memperkenalkan Aspirasi Kampung Sejahtera bagi melonjakkan pembangunan kawasan di luar bandar sebagai sebahagian usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung khususnya aspek ekonomi.

“Selain untuk memastikan semua kampung mencapai aspirasi yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) iaitu wawasan Luar Bandar yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik menjelang 2030,” katanya.

Ketika ini, negara mempunyai 28,303 buah kampung meliputi 19,447 kampung di Semenanjung Malaysia, manakala 5,976 kampung di Sarawak, selain 2,853 kampung di Sabah serta 27 kampung di Labuan.