'Keputusan sertai PBB bagi penuhi permintaan pengundi'

Willie Mongin - Foto Bernama
Willie Mongin - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Keputusan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukanlah keputusan yang dibuat sendiri tetapi menerima pandangan daripada pengundinya, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.

Bersyukur kerana beliau kini secara rasminya menjadi ahli PBB, Willie juga meminta sokongan berterusan daripada pengundi daripada kawasan Puncak Borneo.

"Ketika (pertukaran) kerajaan pada 2020, saya telah muat naik (status) di Facebook saya bertanya pandangan mereka (pengundi) dan meminta mereka maklumkan kepada saya secara peribadi. Saya rujuk kepada pemimpin di kawasan saya, sebelum saya buat keputusan (untuk masuk parti Bersatu). Perkara sama saya lakukan sebelum saya buat permohonan (PBB).

"Jadi saya berharap mereka akan sokong saya kerana percaya ia keputusan bersama dan saya ada minta pandangan mereka. Bukan pandangan saya sendiri, tetapi sebahagian daripada permintaan mereka, dan saya sebenarnya hanya memenuhi permintaan mereka seperti yang telah dibincangkan,” katanya kepada media pada Ahad.

Pada Sabtu, Presiden PBB, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa parti itu telah menerima Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memohon menyertai PBB awal tahun ini telah diterima sebagai ahli biasanya.

Beliau memenangi kerusi Puncak Bornei pada 2018 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun digugurkan bersama beberapa Ahli Parlimen lain daripada parti itu pada 2020 kerana menyokong Timbalan Presiden ketika itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi yang sama pada pilihan raya umum yang akan datang, Willie berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan Presiden PBB dan pimpinan parti untuk buat keputusan. - Bernama