Pelajar 13 tahun antara dua ditahan curi tabung surau

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan tabung surau di Taman Keramat Permai dicuri suspek pada 28 Julai lalu.
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan tabung surau di Taman Keramat Permai dicuri suspek pada 28 Julai lalu.
A
A
A

AMPANG - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara dua individu yang ditahan kerana disyaki mencuri tabung di sebuah surau di Taman Keramat Permai pada 28 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, remaja lelaki itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 21 tahun pada jam 10.10 malam Sabtu di tepi Jalan 6/10 Tasek Tambahan di sini.

"Remaja itu masih bersekolah di Sri Kembangan, manakala suspek seorang lagi tidak bekerja," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dipercayai digunakan di tempat kejadian.

"Semakan lanjut mendapati motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu. Modus operandi suspek adalah menyasarkan tabung duit derma di dalam surau," katanya.

Beliau berkata, kejadian kecurian tabung itu disedari oleh seorang lelaki berusia 68 tahun pada jam 6 pagi.

"Lelaki itu mendapati tabung surau telah tertanggal pada kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita. Kerugian dianggarkan berjumlah RM30," ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Ampang pada hari ini," katanya.