LCS: ABIM gesa SPRM siasat secara telus

Laporan Sinar Harian berhubung isu LCS (Gambar dalam : Mohamed Azlan)
Laporan Sinar Harian berhubung isu LCS (Gambar dalam : Mohamed Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu penyelewengan dalam perolehan lima Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara telus.

Yang Dipertuanya, Mohamed Azlan Dhajul Amin berkata, ia bagi mengenal pasti siapa dalang atau pihak yang bertanggungjawab terhadap isu penyelewengan terbabit kerana ia turut melibatkan soal keselamatan negara.

Menurutnya, RM6 bilion melibatkan jumlah yang besar dan berkemungkinan terdapat unsur-unsur salah guna kuasa, manipulasi, khianat dan rasuah.

"Kepincangan ini menunjukkan isu melibatkan keselamatan negara diambil ringan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Tambahan lagi wujud mungkin ada juga projek-projek lain yang mengalami nasib sama seperti projek LCS milik TLDM yang belum diketahui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap semua penemuan dalam projek pembinaan lima LCS TLDM susulan wujud pelbagai isu mengenai projek berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membolehkan pendakwaan dibuat secepat mungkin terhadap pihak yang terlibat.

Dalam pada itu, Mohamed Azlan turut menggesa kerajaan menyelesaikan isu berkenaan dengan kadar segera dan memastikan tiada lagi unsur penyelewengan.

"Tiada tolak ansur dan kompromi mengenai hal membabitkan kelengkapan dan keselamatan negara," ujarnya.