AUG 2022: 'Road to final' bawa kejayaan skuad bola sepak

Skuad bola sepak AUG 2022 negara berjaya meraih pingat perak selepas tumpas 1-2 kepada Thailand pada Jumaat.
Skuad bola sepak AUG 2022 negara berjaya meraih pingat perak selepas tumpas 1-2 kepada Thailand pada Jumaat.
A
A
A

PROGRAM 'Road to Final' yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disifatkan antara faktor skuad bola sepak berjaya menamatkan kemarau mara ke perlawanan akhir di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Perkara itu, diakui pengendali skuad bola sepak negara, Ridzuan Abu Shah yang memuji inisiatif dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen IPT Malaysia, Datuk Dr Pekan Ramli itu ternyata membuahkan hasil.

Selain itu, beliau turut memuji kualiti permainan dan prestasi keseluruhan pemain walaupun kecundang 1-2 kepada juara bertahan, Thailand pada aksi final di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat pada Jumaat.

"Saya berterima kasih kepada pemain yang hampir kesemuanya dari kalangan pelajar universiti, hanya ada satu, dua pemain senior (kelab Liga Malaysia).

"Kita kumpulkan mereka untuk (program) Road to Final untuk AUG ini. Alhamdulillah Road to Final tercapai.

"Jadi kalau untuk kita dapatkan pingat emas, kita perlu lebih berusaha lagi. Kalau ada rezeki, mungkin 2024 (AUG Indonesia) kita boleh dapat pingat emas," katanya selepas perlawanan final.

Dalam pada itu, pemain Selangor 2, Saiful Iskandar Adna Saiful Azlan tidak dapat menahan sabak apabila gagal membantu pasukannya merealisasikan pingat emas.

Walaupun kecewa tetapi pemain sayap kanan itu tetap berbangga kerana dia dan rakan sepasukannya berjaya menamatkan penantian Malaysia ke final sejak 2008 sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar.

"Akhirnya penantian ke final tercapai. Kami berpuas hati walaupun tidak dapat memenangi emas tetapi kami gembira dengan pencapaian ini," jelasnya.

Dua gol Thailand dalam aksi itu dijaringkan oleh Chanmunti Kantinan pada minit ke-23 dan 45 manakala jaringan tunggal negara diperoleh menerusi Mohamad Syahir Abdul Rahman pada minit ke-78.