LCS: Patriot gesa PM campur tangan

Mohamed Arshad. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Mohamed Arshad. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa Perdana Menteri supaya campur tangan bagi mengambil tindakan terhadap kesemua pihak yang terlibat dalam isu kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya tidak terus mendiamkan diri dalam isu berkenaan.

"Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri mengenai isu ini dan perlu ambil tindakan. RM6 bilion duit rakyat sudah hilang dan siapa yang patut dipersalahkan?.

"Malah saya tabik hormat pada Bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar atas keberaniannya bersuara. Beliau telah hantar sekurang-kurangnya 10 surat teguran tetapi tiada seorang pun ambil tindakan tentang hal tersebut.

"Siapa yang patut kita persalahkan adalah kepimpinan itu sendiri. Perdana Menteri sepatutnya ambil tindakan terhadap kesemua pihak terlibat dalam isu berkenaan termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaam Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

Dalam pada itu, Mohamed Arshad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap semua penemuan dalam projek berkenaan.

"Kita berharap SPRM ambil tindakan segera menerusi laporan PAC yang didedahkan itu. Bawa mereka yang didapati bersalah atas penyalahgunaan rasuah dan salah urus projek LCS berbilion ringgit ini ke muka pengadilan," ujarnya.