Sila log masuk terlebih dahulu.

Taiwan siap siaga hadapi ancaman China

Latihan ketenteraan selama empat hari yang dilancarkan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) diadakan berhampiran Pelabuhan Keelung di Taipei.
Latihan ketenteraan selama empat hari yang dilancarkan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) diadakan berhampiran Pelabuhan Keelung di Taipei.
A
A
A

TAIPEI - Ketegangan antara Taipei dan Beijing semakin meningkat selepas jet pejuang China melintasi garisan median Selat Taiwan pada Jumaat, sehari selepas ia melancarkan latihan ketenteraan sekitar negara pulau tersebut yang didakwa sebagai sebahagian wilayahnya.

“Sehingga jam 11 pagi (waktu tempatan), beberapa pesawat pejuang dan kapal perang terlibat latihan yang disifatkan sebagai sangat provokatif,” ujar Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan.

Difahamkan, tindakan melangkaui garisan median tersebut adalah sangat ‘sensitif’ kerana Selat Taiwan merupakan kawasan perairan sempit iaitu hanya sepanjang 130 kilometer, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan aset ketenteraan jika pencerobohan berlaku.

Sejak Khamis, Beijing mengadakan latihan ketenteraan berskala besar mengelilingi Taiwan sebagai protes terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi kerana didakwa melanggar kedaulatan China.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pelabuhan Keelung di Taipei berulang kali mengeluarkan amaran kepada bot nelayan yang menghala ke utara setelah Taiwan berikrar untuk terus mempertahankan negara itu.

Ketika ini kira-kira 23.6 juta penduduk Taiwan juga sedang bersiap siaga jika pencerobohan Beijing benar-benar berlaku berikutan ancaman yang kian meningkat.

Taipei turut menyediakan pusat perlindungan serangan udara di ruang parkir dan perkhidmatan kereta api bawah tanah kerana bimbang negara itu bakal menerima nasib sama seperti Ukraine, menjadi sasaran ‘operasi khas’ Rusia yang merupakan sekutu utama China.

Artikel Berkaitan:

Sebuah stesen kereta api bawah tanah yang turut dijadikan pusat perlindungan serangan udara.
Sebuah stesen kereta api bawah tanah yang turut dijadikan pusat perlindungan serangan udara.

Lebih 4,600 pusat perlindungan yang boleh menempatkan kira-kira 12 juta penduduk disediakan di sekitar ibu kota, malah lokasi tersebut juga dikongsi melalui aplikasi telefon pintar, selain dilancarkan menerusi media sosial.

Bagi memudahkan lokasi berkenaan dikenal pasti, pintu masuk pusat perlindungan tersebut turut ditandakan dengan kertas berukuran A4 berwarna kuning yang tertera jumlah maksimum penduduk dibenarkan berlindung dalam satu-satu masa.

Bulan lalu, Taiwan mengadakan latihan komprehensif buat pertama kali sebagai persediaan kepada penduduk untuk bertindak segera jika berdepan serangan misil.

Orang ramai diberi tunjuk ajar tentang cara untuk melindungi mata dan telinga mereka ketika latihan serangan udara di ruang parkir bawah tanah.
Orang ramai diberi tunjuk ajar tentang cara untuk melindungi mata dan telinga mereka ketika latihan serangan udara di ruang parkir bawah tanah.

Anggota parti pemerintah, Parti Demokratik Progresif, Enoch Wu menyarankan orang ramai menyediakan kit kelangsungan hidup untuk dibawa bersama mereka jika berlindung di kemudahan yang disediakan.

Pada 1995, China pernah melancarkan ujian misil di perairan sekitar Taiwan sebagai protes terhadap lawatan bekas Presiden China, Lee Teng-hui kelahiran Taipei ke alma mater beliau di AS.

Kira-kira setahun kemudian, ujian susulan peluru berpandu dilancarkan ketika Taipei mengadakan pilihan raya Presiden pertama.

Namun, tindakan provokatif terbaharu Beijing didakwa adalah pada jarak paling hampir dengan pantai Taipei.

“Ketegangan semasa krisis pada 1995-1996 agak memuncak ketika itu tetapi kali ini lebih membimbangkan kerana tentera China mengelilingi perairan Taiwan,” kata seorang penduduk warga emas yang hanya dikenali sebagai Huang.

Anggota polis tentera terlibat dalam latihan untuk membawa orang ramai ke pusat perlindungan disediakan jika China melancarkan kempen pencerobohan.
Anggota polis tentera terlibat dalam latihan untuk membawa orang ramai ke pusat perlindungan disediakan jika China melancarkan kempen pencerobohan.