Kelantan FC terus perkukuh cengkaman takhta Liga Premier

Pemain Kelantan FC yang diturunkan ketika berdepan Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru pada Jumaat. - Foto TRW Kelantan FC
Pemain Kelantan FC yang diturunkan ketika berdepan Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru pada Jumaat. - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

KELANTAN FC mengukuhkan cengkaman takhta Liga Premier apabila menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru pada Jumaat.

Anak buah Rezal Zambery Yahya yang tampil dengan momentum kemenangan 2-0 ke atas Kuching City pada 31 Julai lalu bermula garang sebaik bermula perlawanan.

Bagaimanapun, deretan peluang dimiliki The Red Warriors (TRW) gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sepanjang 45 minit separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Rezal Zambery memperkemaskan corak permainan pasukan tuan rumah, namun jentera serangan masih gagal menjelmakan penyudah.

Kemasukan Abdul Latif Suhaimi menggantikan Shahrul Igwan pada minit ke-66 ternyata kembali menghidupkan kembali jentera serangan tuan rumah.

Abdul Latif yang menyertai TRW pada jendela perpindahan kedua akhirnya menjelmakan jaringan minit ke-76’ untuk tiga mata TRW.

Tiga mata berharga itu membolehkan TRW kendalian Rezal Zambery mengungguli liga dengan 32 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Pesaing terdekat TRW, Johor Darul Ta’zim (JDT) II pula yang telah mengharungi 12 perlawanan berada di kedudukan kedua dengan 26 mata.