Keluar cadangan terhadap lima perusahaan pengisar makanan ayam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap lima perusahaan pengisar makanan yang didapati melanggar Akta Persaingan 2010, hasil dapatan awal siasatan berkenaan isu kenaikan harga ayam, pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata, selepas penilaian teliti dibuat terhadap laporan penyiasatan, MyCC sebagai badan separa kehakiman secara awalnya mendapati perusahaan terbabit telah menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung, sepanjang tempoh tahun 2020 sehingga pertengahan tahun ini.

Beliau berkata hasil penyiasatan mendedahkan bahawa maklumat perdagangan sensitif yang dikongsi antara perusahaan-perusahaan itu dilihat berpotensi mengganggu persaingan dalam pasaran.

"Penetapan harga pada kuantum sama menyebabkan kenaikan yang sama dalam kalangan perusahaan, dan pilihan pembeli dalam memilih pembekal makanan ayam yang menawarkan harga terbaik menjadi terhad. Kesannya, perlakuan perusahaan itu berpotensi menghasilkan sebuah landskap antipersaingan dalam rantaian bekalan industri ayam.

"Makanan ayam adalah penyumbang utama kepada kos penternakan ayam iaitu kira-kira 72.8 peratus daripada jumlah kos keseluruhan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MyCC di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, pada Jumaat.

Iskandar berkata, memandangkan penemuan MyCC melalui Keputusan Cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.

"Lima perusahaan itu kini mempunyai peluang untuk mengemukakan representasi mereka dalam tempoh 30 hari dari tarikh Keputusan Cadangan itu disampaikan kepada mereka, iaitu bermula hari ini. Mereka boleh memilih untuk membentangkan representasi secara lisan pada tarikh yang akan ditentukan kelak, setelah MyCC menerima representasi bertulis mereka," katanya.

Beliau berkata, MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir sama ada terdapat pelanggaran atau sebaliknya di bawah Akta Persaingan 2010 selepas mendengar dan mempertimbangkan representasi bersama bukti yang dikumpul dalam proses penyiasatan.

"Adalah jelas di bawah Akta Persaingan 2010 bahawa perusahaan tidak sepatutnya membuat sebarang perjanjian, bertukar maklumat perdagangan yang sensitif mengenai harga atau terlibat dalam sebarang amalan bersepadu yang menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan. Sebaliknya, mereka harus menentukan tingkah laku masing-masing secara bebas dan memastikan suasana yang kompetitif dalam pasaran.

Pada 27 Jun lepas, Pasukan Khas MyCC telah membentangkan laporan penyiasatannya kepada Anggota-Anggota Suruhanjaya yang diketuai oleh Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus.

MyCC menubuhkan Pasukan Khas itu susulan arahan daripada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada awal tahun ini, bagi menyiasat dakwaan berhubung kartel dalam industri ayam. - Bernama