Daerah Petaling Perdana bolot tiga kejuaraan MSSS 2022

Skuad B-18 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.
Skuad B-18 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.
A
A
A

PASUKAN Bola Sepak Daerah Petaling Perdana mencipta sensasi tersendiri pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) apabila menjuarai tiga kategori dipertandingkan dalam edisi 2022.

Kejuaraan ketiga-tiga kategori edisi telah berlangsung di JSE Arena, Setia Alam (Bawah 12 tahun), Arena 26, Shah Alam (Bawah 15 tahun) dan Radia Arena, Bukit Jelutong (Bawah 18 tahun) dari 25 hingga 28 Julai lalu.

Naib juara Kategori B-18 dimenangi pasukan Daerah Hulu Langat manakala tempat ketiga menjadi milik bersama pasukan Daerah Gombak serta Daerah Kuala Langat.

Skuad B-15 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.
Skuad B-15 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.

Bagi Kategori B-15 pula, pasukan Daerah Gombak muncul naib juara manakala Daerah Kuala Selangor dan Daerah Kuala Langat pula berkongsi tempat ketiga.

Pasukan Daerah Kuala Selangor pula muncul naib juara Kategori B-12 manakala tempat ketiga dikongsi Daerah Hulu Langat dan Daerah Gombak.

Skuad B-12 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.
Skuad B-12 Daerah Petaling Perdana meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan MSSS 2022.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid PPD Petaling Utama, Zaihasra Hassan berkata, kejohanan telah menarik penyertaan pasukan dari 10 daerah di Selangor.

Menurutnya, 10 daerah yang menyertai kejohanan itu adalah Klang, Gombak, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling Utama, Sabak Bernam dan Petaling Perdana.

Katanya, pemain terbaik kejohanan itu akan dipilih untuk mewakili Kontinjen Selangor ke kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang bakal berlangsung di Kedah, September ini.

"Pemain muda yang berbakat ini dapat digilap dan diserapkan ke pasukan pelapis negeri Selangor dan Malaysia satu hari nanti," katanya yang juga Pengerusi Pengelola Kejohanan Bola Sepak MSSS 2022.

Pengurus Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Parlimen Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim hadir merasmikan majlis penutup kejohanan.