Wajah baharu website Sinar Harian penuhi cita rasa pembaca

Penampilan wajah baharu laman web Sinar Harian. (Gambar kecil: Rozaid, Farah)
Penampilan wajah baharu laman web Sinar Harian. (Gambar kecil: Rozaid, Farah)
A
A
A

SHAH ALAM - Penampilan wajah baharu laman web Sinar Harian mampu memenuhi cita rasa pengguna menerusi reka bentuk yang lebih kemas dan menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, perubahan tersebut dilakukan seiring kehendak pembaca masa kini yang mahukan pengalaman lebih selesa dan efisien.

"Sempena sambutan ulang tahun Sinar Harian ke-16 tahun ini, kami memutuskan sudah tiba masanya untuk menaik taraf reka bentuk laman web berkenaan setelah beberapa tahun menggunakan 'layout' sama.

"Reka bentuk kali ini lebih kemas dan sesuai mengikut cita rasa pembaca pada masa sekarang dan kami harap, wajah baharu ini lebih baik dan akan memberi pengalaman terbaik kepada pembaca," katanya.

Terdahulu pada Khamis, laman web Sinar Harian memperkenalkan wajah baharu dengan reka bentuk dan pengisian lebih moden dan mesra pengguna.

Sementara itu Ketua Pengarang Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman berkata, wajah baharu laman web berkenaan lebih 'sedap mata memandang' dengan ruang yang lebih memudahkan pembacaan tanpa meletihkan mata.

"Saya percaya ramai yang akan lebih menghargai usaha kami ini untuk memberikan keselesaan kepada para pembaca melayari dan skrol setiap helaian muka surat dengan pantas serta selesa.

'Reka bentuk baharu ini akan memberi pengalaman baharu yang lebih mengujakan dan memuaskan kepada para pelayar dan pembaca Sinar Harian Online," katanya.