Noor Azmi sahkan undi RUU

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. - Foto Bernama
A
A
A

TAIPING - Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengesahkan, beliau antara ahli Parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, Julai lalu.

Perkara itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak menyatakan sokongan penuh kepada pindaan RUU berkenaan.

"Saya undi," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak di ruang lobi AEON Mall Taiping di sini, pada Jumaat.

RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat selepas mendapat 209 undi daripada 222 ahli Parlimen manakala seramai 11 daripadanya tidak hadir.

Noor Azmi meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018 dan menjadi ahli Parlimen bebas sebelum menyertai Bersatu pada November tahun sama selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara.

Sejak Pilihan Raya Umum 2018, terdapat 39 ahli Parlimen telah melompat parti.

Dalam laporan media sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ahli Parlimen Bersatu menunjukkan komitmen terhadap kelulusan RUU itu meskipun berdepan kritikan hebat di atas tindakan mereka keluar daripada gabungan PH, tiga tahun lalu.