Tok Mat tergores hati ketika diarah keluar dari kediaman rasmi

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui peristiwa diarah keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar selepas kekalahan BN pada PRU14 membuatkannya terguris hati.

Mohamad yang mesra disapa Tok Mat berkata, disebabkan peristiwa itu beliau pernah terfikir untuk berundur daripada politik.

"Saya nak pencen politik bukan sebab Negeri Sembilan kalah, tidak. Tapi sebab memang saya dah letih, saya rasa amat tergores hati apabila kena keluar daripada rumah.

"Kemas barang pun campak dalam kotak saja. Sebagai seorang lelaki saya rasa tergores hati kerana lepas keluar rumah saya tak tahu nak bawa keluarga ke mana, sebab itu saya ambil keputusan nak berhenti," katanya dalam ceramah di Kampung Bemban, di sini, malam tadi.

Bercerita lanjut, Mohamad berkata, ketika itu beliau terpaksa menumpang di rumah yang kini didiami anak-anaknya.

"Rupa-rupanya saya lupa kerja pagi petang siang malam buat rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) untuk orang, tapi rumah PPRT sendiri tak terbuat. Saya tak ada rumah di Seremban.

"Ketika itu juga saya minta maaf kepada anak-anak sebab tak ada masa hantar mereka pergi sekolah. Hanya kerja pagi petang siang malam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau membatalkan hasrat untuk berhenti daripada politik kerana geram melihat prestasi menteri kerajaan baru PH.

Artikel Berkaitan:

"Masa itu pula ada pemilihan parti, Timbalan Presiden (Datuk Seri) Hishamuddin (Tun Hussein) kata tak nak bertanding. Saya pun letaklah nama, menang pula.

"Dah menang terpaksalah pikul tanggungjawab. Lepas dua tiga bulan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) pula kata nak rehat, dah jadi tanggungjawab saya pula (pimpin parti) tapi kena buat jugalah," katanya.

Menurut Mohamad, beliau akan memastikan UMNO bangkit semula bagi menghadapi PRU15.

"Jangan kita anggap PRU14 ini penyudah kepada segalanya. Boleh jadi pilihan raya dua tahun lagi.

"Masa itulah kita perlukan kerjasama semua supaya jangan menang sorak kampung tergadai," katanya.