Harap MSN dapat pertimbangkan rayuan PABM

A
A
A

PUJIAN harus diberikan kepada skuad angkat berat negara yang menamatkan cabaran di Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan meraih dua pingat emas dan satu perak.

Kejayaan tersebut dianggap cemerlang sekali gus melepasi pencapaian pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia apabila badang negara membawa pulang dua emas dan satu gangsa.

Dalam saingan di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham di sini, skuad bimbingan Yon Haryono itu meraih emas menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala Muhammad Erry Hidayat menyumbang perak dalam kategori 73kg.

Pada edisi di Gold Coast empat tahun lepas, pasukan negara berjaya meraih dua emas menerusi Muhamad Aznil dan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (56kg) manakala Muhamad Fazrul Azrie Mohdad (85kg) menyumbangkan gangsa.

Namun, bagi pengurus pasukan negara Amirul Hamizan Ibrahim, pelbagai usaha perlu dilakukan andai mahu melihat skuad angkat berat negara menghadiahkan lebih banyak kejuaraan kepada Malaysia pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan akan datang.

"Memang kita berpuas hati kerana melepasi sasaran...sebelum datang ke sini, sasaran kita satu emas, satu perak dan satu gangsa. Namun (di sini), ada pencapaian membanggakan, ada mengecewakan. Tidak seratus peratus berpuas hati," katanya mengulas pencapaian skuad angkat berat pada temasya kali ini.

Justeru, beliau berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat mempertimbangkan rayuan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memasukkan semula sukan angkat berat ke dalam program sukan teras atau latihan berprestasi tinggi.

Beliau berkata, pendekatan itu bagi membantu mencungkil dan mengembangkan bakat baharu yang menjadi pelapis kepada skuad sedia ada melalui pertandingan dan latihan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Memang sebelum ini kita ada juga bertanding dan berlatih di luar negara. Tetapi jika angkat berat diserap dalam program sukan teras, maka banyak pendedahan dapat diberikan kepada atlet negara termasuk di luar negara dalam persediaan menghadapi kejohanan akan datang.

"Kalau kita mahu lebih banyak pingat (daripada angkat berat) pada Sukan Komanwel akan datang, kita kena bermula daripada sekarang," kata bekas jaguh angkat berat negara itu.

Sebagai rekod, angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.

Mengulas lanjut, Amirul Hamizan berkata selepas temasya di Birmingham, sebahagian atlet negara akan bersaing di Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur pada September serta Kejohanan Dunia di Colombia, Disember depan.

Untuk rekod, skuad angkat berat negara akan berlepas pulang ke tanah air, esok.

Pada temasya kali ini, skuad negara menghantar tujuh peserta termasuk dua wanita. Selain Muhamad Aznil, Mohamad Aniq dan Muhammad Erry, atlet lain adalah Mohamad Nasir Roslan (81kg), Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg), Elly Cascandra Engelbert (55kg) dan Marceeta Marylyne Marcus (59kg). - Bernama