APG: Muhamad Ashraf lengkapkan hatrik emas 800m

Muhamad Ashraf
Muhamad Ashraf
A
A
A

ATLET olahraga para negara, Muhamad Ashraf Mohamad Haisham melengkapkan hatrik pingat emas peribadinya selepas mengungguli acara 800m lelaki T46 (kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN (APG) di sini.

Pelari berusia 27 tahun yang berlari dengan sebelah tangan muncul juara selepas merekodkan dua minit 03.970 saat, sedikit tersasar dari rekod kejohanan miliknya mengatasi pesaing dari Vietnam Tran Van (2:03.970s) dan Thet Htoo (2:04.790s) dari Myanmar di Stadium Manahan.

Muhamad Ashraf menjuarai acara itu pada edisi 2015 di Singapura dengan mencatatkan rekod kejohanan 2:03.67s, sebelum turut memenanginya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

"Lawan pada edisi kali ini agak sengit, jadi perlumbaan hari ini jurulatih tekankan lebih kepada taktikal supaya lebih berhati-hati, jadi tak dapat nak pecah rekod. Beraksi di APG buat kali pertama selepas lima tahun dan temasya pertama sejak pandemik Covid-19, saya sangat bersyukur untuk kejayaan di Solo ini.

"Selepas ini, saya akan fokus untuk emas di APG Kemboja 2023 dan Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang ditangguh ke tahun depan selain cuba melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris,” katanya.

Emas hari ini adalah koleksi pingat ketiga beliau di kota Jawa Tengah ini, selepas menjuarai acara 1,500m semalam dan 5,000m sehari sebelum itu.

Muhammad Faiz Haizat Rosdi pula menyumbangkan perak acara 800m lelaki T37/38 (palsi serebrum) dengan catatan masa 2:16.060s, manakala Teofilo (2:06.390s) dari Timor Leste dan wakil tuan rumah Ammar (2:19.980s) masing-masing meraih perak dan gangsa.

Sementara itu, hasrat Mohamad Yusshazwan Yusoff meraih emas acara tenis berkerusi roda perseorangan lelaki C7 tidak kesampaian apabila tewas kepada Klongrua Suthi dari Thailand, 2-6, 6-4, 6-7 pada final di Lapangan Tenis Manahan.

Nasib sama dialami pemanah compound G Daneshen, yang tewas 134-143 pada final acara perseorangan lelaki kepada Sakon Inkaew dari Thailand untuk berpuas hati dengan perak di Stadium Kota Barat.

Seterusnya, beliau akan bergandingan dengan Wiro Julin dalam final acara berpasukan lelaki dan Nur Jannaton Abdul Jalil bagi final berpasukan campuran pada Jumaat. - Bernama