Api perjuangan Malaysia makin menyala di Birmingham 2022

Skuad badminton negara menyumbang emas ketiga kontinjen Malaysia di Birmingham 2022.
Skuad badminton negara menyumbang emas ketiga kontinjen Malaysia di Birmingham 2022.
A
A
A

API perjuangan dalam kalangan atlet negara di Birmingham 2022 masih belum berakhir sebaliknya semakin menyala, kata Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Shahrul Zaman Yahya selepas skuad badminton negara melengkap kutipan emas ketiga negara sekali gus menyemarakkan misi pemburuan enam emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Malah menurut Shahrul Zaman, tiga emas disumbang dalam acara angkat berat dan badminton sebelum ini juga menjadi inspirasi kepada para atlet lain untuk menghasilkan keputusan positif di temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik tersebut.

“Ya, perjuangan Malaysia di bumi Birmingham 2022 masih belum berakhir sebaliknya semakin menyala apatah lagi dalam kalangan atlet kita mengetahui tanggungjawab masing-masing dalam menggalas cabaran negara.

“Apa yang boleh saya kongsikan ketika ini dalam kalangan atlet Malaysia, begitu teruja untuk mempamerkan keupayaan masing-masing di temasya ini," katanya.

Dalam pada itu beliau juga berharap para atlet dapat mengekalkan disiplin, memberikan sepenuh fokus dan memberikan yang terbaik pada hari pertandingan.

“Saya juga memohon rakyat Malaysia terus menitipkan doa dan sokongan padu kepada para atlet negara kerana dua elemen ini juga merupakan sumber inspirasi,” katanya.

Untuk rekod, kontinjen negara di Birmingham 2022 menggalas misi enam pingat emas dengan menyandarkan harapan kepada sukan angkat berat, badminton boling padang, powerlifting, gimrama dan terjun.

Sasaran enam emas itu diputuskan hasil kajian dan perbincangan antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Mengenai prestasi atlet sepanjang temasya berlangsung, Shahrul Zaman yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memuji daya saingan diberikan setiap atlet negara walaupun berdepan kurangnya penyertaan kejohanan kompetitif dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini berikutan pandemik Covid-19.

“Daya saing atlet kita di Birmingham 2022 boleh disifatkan membanggakan apatah lagi kita semua tahu pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini mengekang pengembangan potensi diri mereka.

“Contoh pasukan ping pong wanita, kita mampu mengejutkan pasukan pilihan India yang juga juara bertahan 3-2 pada saingan suku akhir acara berpasukan, diikuti Wales sebelum akur kehebatan Singapura dalam perlawanan akhir.

“Begitu juga dengan Amir Daniel Abdul Majeed, atlet muda judo kita yang melakar kejutan apabila menyumbang pingat gangsa sekali gus pingat sulung negara dari kem judo,” katanya.