Dagangan Malaysia-Turkiye meningkat 74.2 peratus

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah dagangan Malaysia-Turkiye meningkat sebanyak 74.2 peratus kepada RM16.97 bilion pada tahun lepas daripada RM9.74 bilion pada 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, peningkatan hubungan ekonomi itu adalah hasil daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang telah dimeterai pada 1 Ogos 2015.

"Malaysia dan Turkiye kini di peringkat akhir rundingan peluasan skop MTFTA yang merangkumi bidang lain seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang bagi meningkatkan potensi pengembangan ekonomi kedua-dua negara

"Hubungan dua hala Malaysia-Turkiye juga telah terjalin sejak 1957 dan dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP),” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, beliau turut menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu pagi Khamis yang kini dalam lawatan rasmi ke negara ini.

Mengulas mengenai jaminan keselamatan makanan, Perdana Menteri berkata, Malaysia-Turkiye juga bersetuju untuk bekerjasama secara aktif bagi membolehkan kedua-dua negara membangunkan pelbagai sumber dan rantaian bekalan makanan yang mampan demi manfaat bersama.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut menghargai pendirian tegas serta pendekatan telus Turkiye berhubung krisis Rusia-Ukraine bagi mencari titik penyelesaian pada kadar segera.

Pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye telah dinaik taraf kepada CSP, bermula dengan lawatan Perdana Menteri ke Ankara baru-baru ini.

Saifuddin berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengadakan lebih banyak perbincangan secara formal dan tidak formal di peringkat menteri luar masing-masing. - Bernama