Cubaan samun: Lelaki berjaya ditahan mangsa, orang awam

Suspek bersenjatakan parang yang berjaya ditahan oleh mangsa dengan bantuan orang awam.
Suspek bersenjatakan parang yang berjaya ditahan oleh mangsa dengan bantuan orang awam.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki bukan sahaja gagal menyamun seorang peniaga kedai runcit warga Pakistan di Jalan Hospital Berek 12, di sini malah seorang daripadanya berjaya ditahan oleh mangsa dengan bantuan orang awam pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek berusia 20 tahun yang bekerja sebagai buruh dipercayai menaiki kereta jenis Perodua Myvi bersama rakannya dan ke kedai runcit tersebut pada jam 3 pagi.

"Semasa kejadian, mangsa yang berusia 40 tahun bersendirian di kaunter kedai, manakala isteri dan anak-anaknya berada di rumah terletak di bahagian belakang premis perniagaan tersebut.

"Suspek dan rakannya yang bersenjatakan sebilah parang masuk ke dalam kedai serta berpura-pura ingin membeli barang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, suspek mengeluarkan sebilah parang dan terus mengacukannya ke arah mangsa.

Beliau berkata, mangsa bertindak melawan dan berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Katanya, hasil soal siasat, suspek mengaku cuba melakukan samun di kedai runcit milik mangsa bersama rakan dikenali dengan nama panggilan 'Afiq' yang melarikan diri menaiki sebuah Perodua Myvi berwarna biru.

"Suspek mengalami luka di bahu kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Artikel Berkaitan:

"Manakala mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian.

"Usaha mengesan dan menangkap seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.