Najib cadang beri saham Air Selangor dalam manifesto PRU15

Najib (kiri) memuat naik gambar bersama Allahyarham Abdul Khalid di Facebooknya pada Khamis.
Najib (kiri) memuat naik gambar bersama Allahyarham Abdul Khalid di Facebooknya pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Barisan Nasional (BN) Selangor mempertimbangkan untuk meletakkan pemberian saham Air Selangor sebagai salah satu janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, cadangan itu agar hasrat dan impian bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat disempurnakan.

Najib berkata, beliau pernah berbincang beberapa kali dengan Allahyarham berkenaan rancangan penstrukturan semula dan pengambilan semula semua konsesi Air Selangor yang diswastakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4.

"Antara impian pernah diluahkan arwah ialah memberi saham percuma dalam syarikat Air Selangor kepada semua rumah tangga yang merupakan pengguna Air Selangor setelah proses penstrukturan dan pengambilan semula selesai.

"Dengan pertolongan dan sokongan kerajaan Pusat masa saya PM (Perdana Menteri), proses penstrukturan tersebut berjaya diselesaikan tetapi arwah tak sempat merealisasikan impian seterusnya akibat dikhianati dan dipecat oleh parti dia," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau juga tiada bantahan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor berbuat demikian ketika ini sebagai penghormatan kepada Allahyarham memandangkan PH menguasai Air Selangor ketika ini.

Pada Ahad, bekas Menteri Besar Selangor itu meninggal dunia pada jam 11.08 malam di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Allahyarham Abdul Khalid dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.