Lotus’s, Cadbury, Food Aid Foundation agih 500 pek makanan

Antara sukarelawan terbabit dalam menyediakan pek bantuan makanan di Lotus’s Cheras, Kuala Lumpur.
Antara sukarelawan terbabit dalam menyediakan pek bantuan makanan di Lotus’s Cheras, Kuala Lumpur.
A
A
A

LOTUSS Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) bersama Cadbury Dairy Milk (Cadbury) dan Food Aid Foundation mengagihkan lebih 500 pek makanan kepada kumpulan masyarakat memerlukan.

Dalam kenyataan pada Khamis, rangkaian pasar raya itu berkata, pek makanan itu disediakan oleh 40 orang sukarelawan dalam satu sesi memasak secara beramai-ramai yang diadakan di Lotus’s Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, inisiatif itu selari dengan semangat #KitakanJiran Lotus’s yang mementingkan kesejahteraan masyarakat setempat di samping pada masa sama turut menyokong kempen Cadbury Dairy Milk’s, #CadburyHuggingBar.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat, Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel berkata, pihaknya sedar berkenaan dengan tekanan dihadapi orang ramai dalam perbelanjaan mereka ekoran daripada kenaikan inflasi dan kos sara hidup.

“Jadi, inisiatif ini merupakan salah satu dari niat dan usaha kami sebagai sebuah warga korporat yang bertanggungjawab untuk membawa kecerian dalam kehidupan mereka.

“Ia juga serba sedikit membantu meringankan beban yang dirasakan oleh kebanyakan keluarga B40 dan golongan gelandangan,” katanya.

Sukarelawan terlibat mengambil masa selama enam jam untuk menyediakan 80 kilogram bahan memasak yang terdiri daripada ayam dan sayur-sayuran termasuk nasi.

Juadah disediakan itu kemudiannya diedarkan kepada to PJ Caring Home, Yayasan Sunbeam, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia dan Pusat Transit Gelandangan.

Dalam pada itu, sebanyak 100 pek barangan keperluan asas bernilai RM100 bagi setiap satu turut diagihkan kepada penerima bantuan yang dikenal pasti oleh Food Aid Foundation bagi tujuan membantu meringankan dan memenuhi keperluan kehidupan golongan tersebut.

Antara jenis barangan disediakan termasuk beras, tepung, biskut dan lain-lain.

Menerusi inisiatif tersebut, Cadbury Dairy Milk yang merupakan jenama di bawah syarikat Mondelēz International (Malaysia) memperkenalkan siri bar coklat khas 160 gram bersempena dengan kempen #CadburyHuggingBar yang menyokong matlamat menyebarkan kebaikan dan kegembiraan.

Coklat yang direka khas itu boleh didapati di kesemua 64 stor Lotus’s dengan setiap satu pembelian produk Cadbury Dairy Milk oleh pelanggan, sebanyak RM0.50 akan disalurkan kepada Food Aid Foundation.

Pengarah Pemasaran Mondelēz International untuk Malaysia, Singapore and AMEA Exports, Arpan Sur berkata, kempen #CadburyHuggingBar itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif Generosity Cadbury Milk yang dijalankan di Malaysia beberapa tahun sebelum ini.

“Kami ingin menyebarkan mesej kepada semua rakyat Malaysia bahawa ia hanya memerlukan usaha yang kecil untuk memberi impak besar dalam kehidupan seseorang, dan kami mengucapkan terima kasih atas peranan mereka dalam menjayakannya.” ujarnya

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Food Aid Foundation, Dr Dalphine Ong melahirkan penghargaan bagi pihak komuniti penerima atas sumbangan bekalan makanan disampaikan oleh Lotus’s Malaysia dan Cadbury Dairy Milk.

Katanya, inisiatif tersebut sangat baik bagi membantu penerima memenuhi keperluan nutrisi pemakanan diperlukan mereka.

Lotus’s Malaysia memaklumkan pihaknya meneruskan komitmen untuk menyalurkan barangan makanan selamat untuk dimakan dan tidak terjual dari 64 stornya di seluruh Semenanjung Malaysia setiap hari kepada Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

“Bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan roti itu akan diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.