Tiga sebab PRU15 perlu diadakan seawal mungkin: Ahmad Zahid

Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan seawal mungkin.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perkara tersebut perlu disegerakan dengan mengambil kira tiga pertimbangan utama.

“Pertama UMNO dan BN harus dominan semula dalam kerajaan agar keputusan parti akan lebih ada tindakan segera dalam kerajaan. Isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah contoh diperlambatkan sedangkan parti sudah lama mendesak

“Kedua, politik harus distabilkan. Apabila politik stabil fokus kepada isu rakyat dapat diberikan keutamaan, contohnya masih ada lagi parti Bersatu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan walaupun tempoh pilihan raya kurang daripada setahun.

“Ketiga, pertumbuhan ekonomi perlu diperkasakan. Dasar dan tindakan lebih bersepadu diperlukan membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi. Kesemua ini memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi BN pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, jika pelaksanaan PRU15 terus dilambatkan, ia bakal menjejaskan ketiga-tiga perkara dibangkitkan itu yang menurutnya saling berkaitan antara satu sama lain.

Susulan kemenangan selesa dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, beberapa pimpinan utama BN dan UMNO menyuarakan berkenaan keperluan untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat.

Ini kerana mereka melihat momentum kejayaan pada PRN itu perlu dimanfaat bagi membolehkan gabungan tersebut meraih kemenangan selesa pada PRU akan datang.

Antara pemimpin utama yang turut mengambil pendirian tersebut tersebut ialah Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.