ASEAN gesa redakan ketegangan di Selat Taiwan

Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Phnom Penh menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan di Selat Taiwan. - Foto 123RF
Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Phnom Penh menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan di Selat Taiwan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-55 (AMM 55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Phnom Penh menyuarakan kebimbangan mengenai ketegangan di Selat Taiwan serta menyeru semua pihak terlibat untuk meredakan ketegangan menerusi dialog yang konstruktif.

"Kami (ASEAN) menggesa semua pihak berkaitan agar mengelak daripada melakukan sebarang provokasi atau mengambil tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta cuba sedaya upaya meredakan ketegangan dengan memulakan dialog yang konstruktif bagi mengembalikan keadaan seperti biasa,” kata Setiausaha Kementerian Luar Kemboja, Kung Phoak.

Sementara itu, Kemboja pada Rabu turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini di Selat Taiwan serta menggesa semua pihak yang terlibat mematuhi perjanjian yang disepakati China dan AS seperti termaktub dalam Pernyataan Bersama antara kedua-dua pihak.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja memaklumkan kerajaan memantau rapat perkembangan terkini di Selat Taiwan.

"Kerajaan Kemboja secara konsisten dan tegas berpegang kepada Dasar ‘Satu China’ dan menganggap isu berkaitan Hong Kong, Taiwan, Tibet dan Xinjiang merupakan hal ehwal dalaman.

"Kerajaan Kemboja menyeru semua pihak untuk mencari penyelesaian secara aman, mengekalkan status quo dan mengelakkan sebarang provokasi demi keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau ini dan dunia,” menurut kenyataan itu.

Pada hari yang sama, Malaysia juga memaklumkan pihaknya memantau rapat perkembangan di Selat Taiwan selepas ketegangan tercetus antara China dan AS susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi ke pulau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut menggesa semua pihak supaya menangani situasi itu dengan berhati-hati dan mengambil langkah yang terbaik.

Pelosi menjadi ahli politik tertinggi melawat pulau itu sejak 25 tahun. China menganggap pulau yang mempunyai kerajaan sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya menerusi dasar ‘Satu China’.

Taiwan kini dikatakan telah terputus dari dunia luar disebabkan latihan ketenteraan China selepas Pelosi meninggalkan pulau itu pada Rabu.

Media antarabangsa melaporkan Tentera Pembebasan Rakyat menempatkan kapal perang berhampiran perairan Taiwan dan mengadakan sekatan.

Pesawat China juga dilaporkan telah memasuki ruang udara Taiwan, dengan 22 pesawat melintasi garis sempadan di Selat Taiwan yang memisahkan pulau itu dengan tanah besar China. - Bernama