Penjawat awam disyaki terima rasuah direman enam hari

Suspek (tengah) ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.
Suspek (tengah) ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam direman selama enam hari bermula Khamis kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM35,000 sebagai balasan untuk membantu kes mahkamah yang dikendalikan.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Noor Diana Abd Aziz selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu pada Khamis.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu jam 9.55 pagi pada Khamis bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Suspek berusia lingkungan 40-an yang bertugas di bahagian penguatkuasaan sebuah jabatan kerajaan di negeri itu ditangkap jam 4.15 petang di sekitar Kuala Terengganu, pada Rabu.

Tangkapan itu merupakan lanjutan operasi dijalankan SPRM Terengganu pada hari yang sama.

Permohonan reman dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najmi Adila.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.