Penubuhan mahkamah khas rasuah di Mahkamah Tinggi amat wajar

Mahkamah khas sangat wajar diwujudkan di peringkat Mahkamah Tinggi.
Mahkamah khas sangat wajar diwujudkan di peringkat Mahkamah Tinggi.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penubuhan mahkamah khas di Mahkamah Tinggi bagi mendakwa kes salah laku rasuah merupakan tindakan yang wajar.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan berkata, hal ini kerana Mahkamah Tinggi bersifat berdikari dan mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi.

“Buat masa ini di peringkat Mahkamah Seksyen sudah memperuntukkan ruang khas untuk pembicaraan salah laku rasuah semenjak tahun 2014 lagi namun ia masih belum diwujudkan lagi di peringkat Mahkamah Tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulas bahawa kini pihak SPRM sudah semakin cekap mengendalikan pendakwaan terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iconic Animation Studio Sdn Bhd, Ida Rahayu Md Noor mencadangkan agar mahkamah khas rasuah dapat diwujudkan agar dapat menyegerakan pembicaraan kes-kes rasuah yang tertangguh.

Beliau yang juga Pengarah Program Pertubuhan Aspirasi Wanita (ASWA) berkata, banyak kes melibatkan rasuah terpaksa ditangguhkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut berkenaan rasuah Shahidah berkata, beliau tidak menafikan berlaku salah laku berkenaan dalam kalangan penjawat awam.

“Saya kira cadangan terhadap pihak kerajaan dalam menaikkan gaji penjawat awam sangat wajar memandangkan kos sara hidup semakin tinggi sedangkan gaji mereka masih berada di paras yang rendah dan hal ini mungkin merupakan salah satu dari asbab mengapa terdapat kalangan mereka yang terlibat dengan salah laku rasuah,” ujarnya.