APG 2022: Pemanah recurve raih sebutir gangsa

Suresh (kanan) dan Nurfaizal menunjukkan pingat gangsa yang diraih dalam acara memanah recurved berkumpulan lelaki pada temasya APG 2022 Solo di Stadium Kota Barat pada Rabu. - Foto Bernama
Suresh (kanan) dan Nurfaizal menunjukkan pingat gangsa yang diraih dalam acara memanah recurved berkumpulan lelaki pada temasya APG 2022 Solo di Stadium Kota Barat pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD memanah recurve negara tidak pulang tangan kosong, apabila berjaya panah sebutir gangsa menerusi acara berpasukan lelaki di temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2022 pada pada Rabu.

Gandingan S Suresh-Nurfaizal Hamzah berjaya mengatasi lawan dari Filipina, Giovanni Ola-William Cablog 6-0 pada aksi penentuan gangsa di Stadium Kota Barat di sini.

Peserta tuan rumah, Kholidin-Setiawan berjaya mengejutkan Hanreuchai Netsiri-Pornchai Phimthong dari Thailand 5-1 untuk merangkul emas.

Terdahulu, juara dunia 2019 Suresh, terlepas peluang meraih gangsa acara individu, apabila tewas kepada Kholidin 6-2, manakala Setiawan mengesahkan emas selepas mengejutkan Hanreuchai dengan keputusan sama.

"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat pingat di APG selepas dua kali cuba. Bagi acara individu tadi saya dah cuba yang terbaik, memberi saingan yang sengit namun tidak tahu kenapa panahan tidak menjadi, selepas balik ini akan berusaha untuk tingkatkan prestasi," kata Suresh.

Nurfaizal, yang membuat penampilan pertama selepas baru menyertai skuad kebangsaan bulan lepas, berkata beliau agak gementar tetapi berjaya mengatasinya dengan sokongan daripada Suresh, jurulatih Marzuki Zakaria dan rakan sepasukan yang lain.

Lapangan memanah seterusnya akan menjadi tumpuan acara final compound individu, menyaksikan G Daneshen berdepan Sakon Inkaew dari Thailand.

Sementara itu, satu-satunya wakil boccia negara pada temasya kali ini, Mohammad Syafiq Mohd Noh terlepas peluang membawa pulang pingat apabila tewas 0-15 kepada wakil tuan rumah Felix Ardi Yudha dalam penentuan gangsa acara individu lelaki BC2 (celebral palsy).

Terdahulu, beliau tewas 1-5 kepada Watcharaphon Vongsa pada aksi separuh akhir, dengan wakil Thailand itu mengatasi rakan senegaranya Phakphum Linchum 3-1 pada final untuk muncul juara. - Bernama