Hotel bajet jadi sarang pelacuran diserbu

Seramai 13 wanita warga asing ditahan dalam serbuan pada Selasa. - Foto PDRM.
Seramai 13 wanita warga asing ditahan dalam serbuan pada Selasa. - Foto PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan satu sindiket menjadikan sebuah hotel bajet sebagai sarang pelacuran terbongkar selepas premis di Jalan Rembia, Bukit Bintang, di sini digempur polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, seramai 17 individu terdiri dari tiga lelaki tempatan, 13 wanita serta seorang lelaki warga asing ditahan dalam serbuan sekitar jam 10.15 malam.

"Ketika serbuan, kegiatan tersebut dipercayai baru sahaja beroperasi sekitar tiga jam. Hasil siasatan mendapati mereka baru mendaftar masuk bilik hotel pada jam 7 malam.

"Polis merampas 39 keping kondom, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, 13 rangkai kunci bilik, sekeping resit perniagaan dan wang tunai berjumlah RM1,500," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noor Dellhan berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 37 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372B, Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999 atau mana-mana balai berhampiran," ujarnya.