Lelaki dedah dilatih, dipaksa jadi 'scammer'

Kar Meng (kiri) berharap orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan seperti dirinya.
Kar Meng (kiri) berharap orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan seperti dirinya.
A
A
A

IPOH - Lelaki yang terselamat daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja mendedahkan dirinya dipaksa menjalani latihan sebagai scammer untuk memperdayakan orang ramai menerusi sindiket Macau Scam.

Pengalaman dilalui Lee Kar Meng, 32, dari Ipoh selama lebih setahun itu memerlukan dirinya melakukan penipuan melalui aplikasi laman sosial seperti WeChat, Facebook dan Telegram.

"Kami diajar menambah rakan di laman sosial tersebut, seterusnya berpura-pura menjadi kawan atau bercinta dan menjadi pasangan kekasih.

"Selepas mendapat kepercayaan, kita akan ajak mereka sertai peraduan atau jual produk, bergantung kepada situasi dan kehendak sindiket," katanya dalam sidang media di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan.

Kar Meng berkata, sepanjang tempoh itu, dia telah ditukar ke tujuh syarikat semuanya berkaitan penipuan dalam talian dengan modus operandi yang sama dan menerima bayaran sekali sahaja iaitu AS$600 (RM2,900).

Menurut Kar Meng, dirinya mula terjebak dengan aktiviti itu kerana dijanjikan peluang kerja di negara berkenaan dengan gaji yang lumayan.

"Tetapi saya tak sangka kerja yang dimaksudkan itu adalah 'scammer' dengan membuat panggilan untuk menipu orang ramai

"Saya dapat lepaskan diri pun selepas dihalau keluar oleh syarikat terbabit.

"Mereka bimbang aktiviti dapat dikesan pihak berkuasa selepas satu sidang media diadakan MCA Mei lalu ada mendedahkan gambar dan bangunan asrama di Kemboja yang menempatkan saya dan mangsa lain.

"Tanpa laporan polis oleh bapa saya serta bantuan sidang media, mungkin saya masih berada di sana," katanya.

Guo Nan menunjukkan bangunan asrama yang didedahkan dalam sidang media, Mei lalu.
Guo Nan menunjukkan bangunan asrama yang didedahkan dalam sidang media, Mei lalu.

Dia dihantar pulang ke Malaysia pada Isnin lalu selepas lebih dua bulan ditempatkan di bawah pengawasan pihak imigresen Kemboja kerana tidak mempunyai pasport.

Ujarnya, dia bersama rakyat Malaysia lain yang berjaya diperdaya dibawa masuk ke negara berkenaan oleh sindiket secara tidak sah.

"Orang ramai jangan terjebak dengan penipuan dan menjadi mangsa sama seperti saya.

"Paling penting jangan cepat percaya dengan iklan scammer, saya pun dah ambil iktibar dengan apa yang terjadi," katanya.

Sementara itu, Guo Nan berharap pihak berkuasa dapat bekerjasama membanteras isu pemerdagangan manusia yang semakin serius.

Katanya, selain iklan di media sosial, terdapat juga ejen bekerjasama dengan sindiket pemerdagangan manusia melatih rakyat Malaysia bekerja sebagai scammer di Kemboja, Myanmar dan Thailand.