Ajal kereta dirempuh dari belakang

Pihak polis membuat siasatan awal di lokasi kejadian.
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pelayan restoran maut selepas kereta dinaikinya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian yang berlaku di KM442 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.09 malam itu, mangsa berkenaan yang berusia 29 tahun itu menaiki kereta jenis Perodua Myvi berkenaan bersama tiga lagi rakannya.

Samsor berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, rakan mangsa yang memandu kereta terbabit telah berhenti di belakang sebuah kenderaan peronda yang berada di lorong kecemasan pada waktu itu.

“Dua rakannya telah turun dari kenderaan itu dan meninggalkan mangsa bersama seorang lagi rakannya di tempat duduk belakang.

“Namun begitu, secara tiba-tiba terdapat sebuah kereta jenis Proton Perdana telah hilang kawalan dan melanggar belakang kenderaan yang dinaiki mangsa terbabit,” katanya.

Ekoran daripada pelanggaran itu, Samsor berkata, kedua-dua mangsa berkenaan tersepit di dalam kereta terbabit berikutan berada di tempat duduk belakang sewaktu kejadian itu.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi di hantar ke Hospital Sungai Buloh dan menerima rawatan di Zon Merah.

“Manakala pemandu Proton Perdana itu pula kini sedang menerima rawatan di Zon Kuning hospital yang sama.

“Dua rakan mangsa yang lain juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan daripada kejadian itu,”katanya. Tambah beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.