Kejayaan skuad badminton inspirasi kontinjen Malaysia: PM

Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada skuad badminton yang berjaya mengharumkan nama negara. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada skuad badminton yang berjaya mengharumkan nama negara. - Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KEJAYAANskuad badminton menghadiahkan pingat emas menerusi acara berpasukan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 mampu menjadi inspirasi kepada kontinjen Malaysia untuk memburu kegemilangan pada temasya itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu dapat meletakkan negara di landasan tepat untuk memburu sasaran enam pingat emas di Birmingham.

"Kontinjen Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang di temasya Sukan Komanwel 2022 dengan meraih pingat emas ketiga.

"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada skuad badminton yang berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau.

Pasukan badminton campuran negara berjaya menebus kekalahan 1-3 kepada India pada edisi Gold Coast 2018, selepas menumbangkan juara bertahan itu 3-1pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan 5 Pusat Pameran Nasional.

Kontinjen negara setakat ini meraih keseluruhan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.