Banjir Baling: Penghuni 16 rumah akan dipindah

Muhammad Sanusi ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Bantuan Banjir Baling di Desa Keda Kampung Sadek pada Rabu.
Muhammad Sanusi ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Bantuan Banjir Baling di Desa Keda Kampung Sadek pada Rabu.
A
A
A

BALING - Penghuni 16 rumah di Sungai Kupang akan dipindahkan dalam fasa kedua pemindahan selepas kediaman mereka tidak selamat diduduki akibat bencana banjir dan kepala air baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lokasi baharu kini sedang dikenal pasti bagi menempatkan 16 buah keluarga tersebut.

Menurutnya, hasil bancian yang dilakukan mengenal pasti penduduk terbabit perlu dipindahkan ke tempat selamat kerana bimbang risiko bencana.

"Dalam lawatan Raja Muda Kedah sebelum ini juga menitahkan agar penduduk yang berisiko terus dipindahkan bagi menjamin keselamatan nyawa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Bantuan Banjir Baling di Desa Keda Kampung Sadek dekat sini, pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi, sebanyak 12 buah rumah akan dibina di Desa Keda Kampung Sadek bagi menggantikan rumah yang musnah teruk akibat kepala air 4 Julai lalu berdasarkan syor Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Baling.

"Sekarang ini, kesemua 12 keluarga tersebut tinggal secara menyewa di beberapa tempat dan kita bantu dari segi bayaran sewa bulanan untuk tempoh enam bulan.

"Kita berharap rumah ini dapat dibina dalam tempoh kurang daripada enam bulan, sebelum Disember ini," katanya.

Sebanyak 12 buah rumah dibina bagi menempatkan mangsa yang terjejas banjir dan kepala air di Kampung Iboi Kupang, Baling 4 Julai lalu.
Sebanyak 12 buah rumah dibina bagi menempatkan mangsa yang terjejas banjir dan kepala air di Kampung Iboi Kupang, Baling 4 Julai lalu.

Menurutnya, pembinaan rumah tersebut dilaksanakan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Kynetics Land Sdn Bhd dan kos dianggarkan sekitar RM70,000 hingga RM75,000.

Muhammad Sanusi menjelaskan, walaupun 17 rumah yang terjejas teruk, namun lima daripadanya adalah penyewa.

"Lima penyewa tersebut turut diberi bantuan bayaran sewa bulanan. Kita juga akan pertimbangkan bantuan untuk pemilik rumah sewa tersebut sekiranya perlu," katanya.