HPUniSZA dibuka kepada umum tahun depan

Fadzli (dua, kiri) mengiringi Ahmad (tengah) yang mengadakan lawatan kerja ke HPUniSZA di Gong Badak, Kuala Nerus pada Rabu.
Fadzli (dua, kiri) mengiringi Ahmad (tengah) yang mengadakan lawatan kerja ke HPUniSZA di Gong Badak, Kuala Nerus pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERUS - Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA), di sini yang dibangunkan dengan kos bernilai RM281 juta akan mula dibuka kepada umum pada awal tahun depan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, pembukaan hospital tersebut dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut beliau, sebagai permulaan, HPUniSZA telah pun memulakan operasi secara dalaman dengan pembukaan Klinik Perubatan Am khas kepada kakitangan dan pelajar UniSZA bermula 1 Ogos lalu.

“Melalui percubaan pembukaan ini, pengurusan HPUniSZA dapat meneliti keberkesanan pergerakan pesakit dalam proses mendapatkan rawatan, selain menilai dan menambah baik perkhidmatan berkualiti sebelum ia dibuka kepada umum nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan Kerja Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said ke HPUniSZA, di sini pada Rabu. Hadir sama Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif.

Sementara itu, Fadzli berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukkan 100 katil tambahan bagi melengkapkan fasiliti HPUniSZA supaya hospital tersebut dapat memberi perkhidmatan kepada umum sebagaimana dijadualkan.

Beliau berkata, hospital itu sepatutnya dilengkapi 200 katil bagi kegunaan pesakit namun setakat ini hanya 100 katil yang diluluskan.

Jelas beliau, HPUniSZA bakal menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik apabila dibuka kelak termasuk rawatan pakar kepada pesakit jantung hasil kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) melalui pembukaan Klinik IJN.

“Harapan kita, pembukaan hospital yang dilengkapi peralatan canggih, berkonsepkan mesra ibadah dan menyediakan rawatan serta persekitaran Islamik secara holistik ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu,” katanya.

Pembinaan HPUniSZA dimulakan pada tahun 2016 dan siap sepenuhnya enam tahun kemudian sebelum diserahkan kepada UniSZA pada Februari lalu. Selepas diserahkan, proses baik pulih bangunan telah dilaksanakan sehingga September nanti.

Hospital ini dilengkapi kemudahan 200 katil, 16 bilik bedah, 10 bilik bersalin dan akan beroperasi dengan peralatan perubatan terkini mengikut piawaian antarabangsa seperti mesin MRI, CTScan, mesin x-ray am, mammogram dan sebagainya.